Indahnya Sabar




Jiwa seorang hamba tidak pernah terlepas daripada ujian. Berbeza diri seseorang, berbeza pula ujian yang dihadapi. Ada pula yang diuji pada tubuh badan. Sama ada ujian itu berbentuk kesusahan atau kesenangan, semuanya adalah tanda bahawa itulah kasih sayang ILAHI.

Nabi Ayub diuji dengan kesakitan dan kepayahan. Nabi isa diuji dengan kemiskinan. Nabi Sulaiman dengan kekayaan tapi mereka tetap bersabar. Begitu pula Nabi Muhammad s.a.w yang diuji dengan pelbagai rintangan ketika berdakwah. Namun kesabaran mereka begitu luar biasa.

Janji ALLAH adalah pasti. Sebagaimana ALLAH menjanjikan bahawa setiap yang bernyawa akan merasai kematian, sebagaimana ALLAH menjanjikan ada kemudahan selepas kesulitan, begitu juga janji NYA bahawa setiap mukmin tidak akan hanya dibiarkan berkata mereka telah beriman selagi tidak diuji. Suka atau tidak, pasti ujian itu akan hadir.

Mereka yang sabar pasti dapat menghadapinya. Tidak kurang juga ada yang terkandas dan tergelincir. Ada yang berputus asa, lantas mudah dirasuk perasaan untuk memusnakkan diri. Ada pula yang lebih teruk sehingga menyalahkan Allah kerana menurunkan ujian sebegitu.

Sering kali diungkapkan bahawa kesabaran itu kunci kejayaan. Namun, ujian tidak pernah berhenti. Ada orang yang berjaya bersabar ketika susah tapi terjatuh ketika diuji dengan kesenangan. Ada orang yang berjaya dalam melakukan perintah ALLAH tapi hilang punca ketika diuji dengan musibah. Maka, masihkah ada kesabaran?

ALLAH S.W.T berfirman,
"Wahai sekalian orang yang beriman! Mintalah pertolongan untuk menghadapi susah payah dal menyempurnakan sesuatu perintah TUHAN dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya ALLAH menyertai (menolong) orang yang sabar." -Surah al Baqarah : 153

Malah, ALLAH sendiri memuji perkataan sabar dengan menyatakan bahawa kesabaran itu adalah cantik. Lebih menarik, al Quran juga merakamkan kepada kita kisah-kisah kesabaran para Nabi dan Rasul dalam menghadapi pelbagai ujian sehingga digelar sebagai Ulul Azmi, iaitu yang banyak sekali ujiannya.

Oleh kerana itulah disusunkan, diaturkan susunan Rasul itu, nabi yang paling tinggi maqam dan martabatnya adalah Nabi Muhammad s.a.w. Diikuti oleh Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Nuh. Kelima-lima mereka inilah yang dipanggil nabi-nabi Ulul Azmi. Merekalah yang paling banyak diuji ALLAH.

Maka, gambaran kesabaran itu terletaknya pada kesabaran nabi-nabi Ulul Azmi dan nabi-nabi lain.

Begitu juga ALLAH S.W.T letakkan kepada kita kesabaran yang tinggi, diuji dengan pelbagai dugaan. Kita perlu faham bahawa ujian ini bukan setakat berbentuk kesusahan dan musibah. Ujian ALLAH datang dalam pelbagai bentuk. Semua itu adalah tanda kasih dan sayang ALLAH kepada hamba-NYA.

Hidup ini sememangya dipenuhi ujian. Itulah hakikat yang tidak pernah kita dapat pisahkan. Di sebalik berbezanya manusia, berbeza ujiannya, begitu juga berbeza pula cara kita memandang ujian tersebut.

Ya, di sinilah warnanya hidup ini. Setiap perbezaan dalam menerima ujian itulah yang mewarnai kehidupan di dunia. Bukan setiap masa kita diuji dengan kesusahan. Bukan juga setiap masa kita iuji dengan kesenangan. Bahkan ada masa dan ketikanya, kita tidak pernah menjangka akan berlaku ujian sebegitu rupa. Ada kala kita sendiri mungkin terlupa bahawa diri sendiri sedang diuji.

Ketika diri diuji, kita tertanya-tanya, mengapa perlu diuji? Mengapa ketika orang lain senang, kaya dan bahagia, kita pula yang berdukacita. Ketika kejujuran yang dipersembahkan, kita pula menjadi mangsa dek kesilapan orang lain. Mereka berbahagia, bergelak ketawa sedangkan kita pula berduka lara dan berlinang air mata. Apakah itu tanda ALLAH tidak sayangkan kita?

Hakikatnya, dunia tidak pernah sunyi dengan mereka yang bermandi air mata dalam menghadapi ujian. Perit, jerih dan pedih terpaksa dikesampingkan malah terus gagah melayari kehidupan walau diri dihimpit ujian. Kekuatan diri itu pasti berpunca daripada keyakinan bahawa ALLAH tidak pernah meminggirkan kesabaran setiap hamba-NYA. Ujian yang dilalui bukanlah sia-sia.

Itulah janji ALLAH. DIA tidak akan menguji hamba NYA dengan sia-sia. Sama ada ujian itu berbentuk kesusahan, kesenangan, musibah atau kesakitan, ALLAH lebih mengetahui mengapa kita diuji. Malah, ALLAH menegaskan agar jangan mengharap kepada syurga selagi belum diuji. Ujian itu boleh jadi berbentuk kelaparan dan kesusahan. Tidak kurang juga berbentuk kesenangan. Matlamatnya? Agar ALLAH tahu siapakah dalam kalangan hamba-NYA yang paling terbaik amalan.

Benar. ALLAH tidak sebut siapa yang paling banyak amalannya. Tapi, ALLAH menyebut siapakah yang paling terbaik amalannya. Apabila disebut sahaja iman, ALLAH berpesan, jika belum datang ujian, janganlah menyangka bahawa kita ini ahli syurga. Di sinilah, kita memerlukan kepada sabar.

-TUHAN sedang menguji kita-


Comments

  1. Assalamualaikum..hai2

    Saya menjual iphone,samsung,oppo,phone case,powerbank dan etc.
    jemput singgh blog saya

    http://nasuha-itsmyessay.blogspot.com/

    ig @nurnasuha96_

    whatsapp +60196117811

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

10 Ayat Pertama & Terakhir Surah Al Kahfi

Ulangtahun ke-2 di Sepang GoldCoast

Anniversary ke 6tahun